Monday, December 20, 2010

IRAN

Terlalu banyak yang diperkatakan tentang Iran. Visi aku satu, ingin melihat Kota Buku dan bertemu dengan penerbit buku di sana. Visi aku juga untuk membawa seramai mungkin penerbit Iran datang ke Malaysia dan bertukar karya mereka di sini. Visi aku juga ingin melihat bagaimana budaya mereka tentang ilmu dan peradaban. Dengan pelbagai cerita yang tidak senang di dengar aku melangkah berani menuju ke Iran. Pesawat Etihad meredah kepekatan malam jam
2.00 pagi dari Lapangan Terbang Abu Dhabi. Perjalan ke Tehran tidak lama cuma mengambil masa satu jam setengah sahaja untuk sampai. Tidak banyak kerenah yang ditempuhi tetapi aku masih was-was untuk memasuki Iran.

Tepat jam 3.50 pagi pesawat mendarat di Lapangan Terbang Imam Ayotullah Khomeni... hebat, lapangan terbang setaraf KLIA . Perjalanan ke pintu masuk (imegresen) nampaknya mudah. Seramai-ramai penumpang pesawat Etihad tadi rupa-rupanya rakyat Iran, dan dibarisan masuk Passport Antarabangsa hanya 6 orang sahaja. Hairan-hairan. Seusai urusan Dr Ben menanti kami. Beliau tiba dengan pesawat Emerates daripada Dubai dan tiba awal sedikit daripada kami. Perjalanan ke Hotel Mashad di Teleghani Street, Dr Mofatah Avenue mengambil masa selama 1 jam. Tiada teksi yang khusus seperti Limo di KLIA. Sempat juga menukar USD 200 dan jadi jutawan segera. Matawang Iran adalah riyal dengan gandaa 1000 bagi setiap 1 ringgit. Nilai RM 1 sama dengan 3500 Riyal. Tetapi jangan terperdaya... rakyat Iran masih menggunakan matawang lama mereka iaitu Toman RM1 bersamaan dengan 35000.

Beberapa kali juga kami terpedaya. Bayangkan bila kita lihat harga sesuatu barang tu 25000 Riyal dan bila dibahagi 3500 jadi barang tu kalau di tukar ke RM jadi murah , lebih kurang 7.14 sen. Tanpa fikir panjang beli saje.... tetapi peniaga tu kata 25000 Toman, maknanya kena ganda lagi jadi 250,000 bahagi dengan 3500 berapa? Jadi berapa harganya? Berganda! RM71.40 sebenarnya....terkena memang terkena. Akhirnya banyak benda yang teringin jadi dingin. Beli mana yang patut saje. Tehran bukan syurga membeli belah tidak seperti Dubai.

Sesuatu yang tidak mungkin dilupakan adalah pemandangan indah yang terpampang dihadapan mata apabila membuka jendela dari dalam bilik hotel. Subhanallah .... terpacul dari mulut apabila melihat banjaran yang diselaputi salji dan menjadi pertengkaran di antara kami yang mengatakan itu bukan banjaran gunung yang diliputi salji tetapai wall paper je. Ada yang kata itu bukit yang diselaputi pasir. Tetapi aku keras menafikannya. Akhirnya aku berjaya, memang itulah banjaran gunung yang diselaputi salji dan aku berjaya pergi dan melihatnya dari dekat di Valenjak , Utara Tehran.




Sunday, December 19, 2010

ABU DHABI


Lama sudah tidak menulis di blog ini. Bukan apa... masa banyak mencuri waktu-waktu yang senggang untuk meluahkan segala yang tersirat dilubuk hati. Setelah Liyana pergi ke Dublin, aku menyusuri jalanan yang jauh merentasi 4 buah negara yang tidak pernah aku kunjungi. Bermula dengan Abu Dhabi kemudian Iran , terus ke London kemudian ke Hay-On-Wye di Wales. Perjalanan panjang ini terlalu banyak untuk dikongsi dan menemui pelbagai ragam manusia yang berbeza darjatnya.

Abu Dhabi:

Kota kaya raya dengan seribu kemewahan. Segalanya nampak mewah dan aku juga terpegun dengan bangunan pencakar langitnya. Kursus selama 5 hari membuka mataku bahawa bidang penerbitan ini merupakan satu peluang perniagaan yang boleh diterokai jika ada usaha yang bersungguh. Kitab International Book Fair memang
profesional dengan bidang tugasnya. Bekerjasama dengan New York University memberi peluang untuk aku belajar sesuatu yang baru mengenai rekabentuk kulit dan mengenai e-publications.Pertemuan dengan rakan-rakan niaga dari Rusia seperti Valentina, Walid dari Tunisia dan ramai lagi membuat akau kini mempunyai rangkaian di seluruh dunia. Dari Jepun hingga ke Amerika merentas hingga ke Nigeria.

Kota Abu Dhabi

Penuh dengan bangunan pencakar langit. Peluang bertemu dengan wakil Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi memberi sedikit gambaran ke mana untuk dilawati. Katanya tempat yang wajib dilawati adalah Souq Naif di Dubai dan Masjid Khalfah Zayed. Peluang ke Masjid Khalifah Zayed tidak dilepaskan. Memang indah dengan ukiran penuh dari marmar putih dari Italy dan aku terpegun dengan ukiran yang halus itu. Kesudahannya aku lihat Masjid ini menjadi seperti sebuah galeri untuk dilawati bukan tempat untuk beribadah sepenuhnya.

Banyak lagi kemewahan di Abu Dhabi, dari hotel tempat penginapan peserta di Hilton Bayyunah hinggalah ke pusat membeli belah di Marina Mall... segalanya untuk mereka yang kaya dan ternama. Gaji seorang pekerja wagra Filipina yang bertugas sebagai sales girl mencecah 4000.00 Dirham sebulan dan tidak banyak beza dengan gaji aku yang sudah bekerja sebagai penjawat awam selama 20 tahun dan aku kalah dengan gaji penyelia gadis Filipina tadi kerana gajinya 10,000.00 Dirham. Aduh....aduh...Tetapi yang menggelikan hati bila ditanya kenapa tidak mahu berkahwin dengan orang Arab atau Abu Dhabi kerana mereka ini kaya raya.... senang saja dia jawab.... mereke ini tidak cerdik.

Kesempatan yang singkat juga aku ke Dubai kerana ingin sekali melihat dari dekat Burj Khalifah dan Burj Arab, bangunan yang tertinggi di dunia. Hebat memang hebat.... Souq Naif tidak dapat mengatasi Burj Arab atau Burj Khalifah, kerana Souq Naif merupakan syurga idaman wanita. Sangat murah harga kain di sini. Aku tidak terdaya melawan nafsu untuk membeli tetapi iman ku kuat untuk tidak banyak membeli kerana banyak negara lagi yang perlu dijelejahi.


Wednesday, September 8, 2010

PERANTAUAN

Tadi malam, Liyana berstatus mahasiswa perantauan. Setelah Azreen pulang dari Australia, dan menamatkan pengajiannya selama 3 tahun, Liyana menyusul pula. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku meraung atas ketiadaan seorang lagi anak di depan mata. Begitulah suratan, aku akur dan redha dengan keadaan. Dia pergi untuk menyahut cita-citanya yang menggunung tinggi. Semoga di tabah dan berani seperti abangnya yang setelah pulang penuh dengan idea dan sering membuat perbandingan.
Merantau sudah menjadi warisan. Sebagai waris keturunan Bugis, leluhurku juga perantau yang hebat. Pernah leluhurku gugur digelombang samudera dalam pelayarannya ke bumi Kanggaro suatu masa dulu. Aku menjadi ikutannya kini, merantau dari satu negara ke satu negara dan menimba pengalaman yang tidak tercatat semua ditinta.
Aku akan terus menggembara...

Tuesday, August 10, 2010

AKUR DENGAN MASA

Masa terus berlalu... dengan seribu kekalutan, masa pergi tanpa memperdulikan siapa kita. Masa juga tidak mengenal erti simpati dan kita yang patut akur pada masa. Hari-hari yang berlalu alhamdulillah berlalu dengan aman. Di kamar kerja tiada apa yang perlu disegerakan. Aku mampu untuk berfikir dan membuat persediaan serapi mungkin. Syukur kepada Illahi dengan ketenangan ini. Begitu juga dengan Phd, tiada apa yang perlu di segerakan. Aku merangkak-rangkak dengan tajuk kajian yang telah hampir mencecah 15 kesemuanya. aku amat bersyukur dengan apa yang melingkari aku.
Setelah begitu kecewa dengan kehilangan lap top pada tanggal 27 Oktober 2009 yang lepas, kini aku dapat penggantinya semula. Itupun setelah berhempas pulas meminta ganti rugi. Seperti kata Nisah Hj. Haron, Karya Kita Hak Kita, maka laptop itu hak aku dan aku berhak untuk mendapat gantiruginya atas kecuaian pihak hotel yang tidak ada langkah keselamatan yang jitu.
Masa terus berlalu... dan aku berjanji untuk secara konsistennya menyiapkan Phd ini.

Saturday, June 12, 2010

UFUK


Aku memerhatikan
dibalik cerminan pesawat
diufuk sana
mentari merah menjeguk diri
dini hari kiranya

Aku...
di atas kepulan awanan
selembut gumpalan kapas
segebu bebulu biri-biri
serasa ingin aku terjun ke atasnya
berguling-guling dan mengocak gumpalan awanan itu

Benar,
jam ditangan 4.15 pagi
mentari terbit di sini rupanya
aku perhati
terasa sayu di hati dengan
keindahan Illahi

- Entah diruang udara mana-
4.30 pagi
MH 088 27 Mei 2010
KLIA - NARITA

Monday, June 7, 2010

CERPIN MIKRO: MBMMBI

" Hello... Daddy"
" daddy sihat?"
" I kat PICC ni.. ada meeting dengan KPPM and KSU, Minister bagi speech...
" oh go with kawan-kawan"
Che Bah bersuara lantang, meneran dan saja dibuat-buat dengan nada yang sengaja ditinggikan. Che Mah di belakang membuntuti gerombolan manusia bagi memenuhi Dewan PICC yang boleh memuatkan 3500 orang yang dipaksa datang. Sambil tu Che Mah mengerling rakan disebelahnya.

" Siapa pulak yang berlagak ni, macam dia sorang je ada KPPM dan nak jumpa menteri. " Che Jah menjuih bibir dengan penuh meluat.

" Eh you guys, jangan laju sangat, we gotta get the best seat, kat depan-depan... nanti boleh masuk TV" Che Bah melaung pada kawan-kawannya.

Sekali lagi Che Mah mengerling pada Che Jah...
"Alah Mat Salleh celup mana pulak ni... sekerat Melayu, sekerat omputih, siap dengan slang pulak tu?..."

Sampai di Dewan PICC, berapi-rapi ucapan sang menteri mengenai isu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris , dengan kata lain MBMMBI.

Che Mah berbisik lagi pada Che Jah..
"Agak-agaknya orang kat depan kita tu sah dah pergi kurusus MBMMBI kan! cakap sekerat Melayu, sekerat Omputih.

"ahahlah... matlamat menteri menghimpunkan kita semua ni tercapailah kan"

"ya ya.." SALAM 1 MALAYSIA

norhayati razali

Saturday, May 29, 2010

KOTA METROPOLITAN TOKYO

Inilah penggembaraan pertama di Negara Matahari Terbit. Bersih dan cantik. Cantik itu subjektif sifatnya dan yang cantik hanya pada pandangan mata yang melihat. Tetapi, jika bersih? Bagaimana? Falsafah disebalik kecantikan adalah kebersihan. Ini yang ada di Tokyo. Jika dibandingkan dengan Eropah, seperti Italy dan Frankfurt, Milan dan Florence.. Tokyo nampak lebih cantik kerana bersih. Budaya yang mementingkan kebersihan. Setiap pagi , setiap isi rumah perlu menyapu kawasan halaman rumah, dan menjadi perkara wajib serta dilaksanakan secara bergilir-gilir. Prinsip masyarakat Jepun ini senang, jika sudah bersih tentu tidak akan ada yang menggotorkannya. Satu lagi, tidak ada orang yang makan sambil berjalan... mudah sahaja prinsipnya... kerana tidak ada penjual jalanan, jadi peluang untuk membuang sampah di merata-rata tempat tidak ada. Mereka juga ada hari-hari tertentu untuk membuang pelbagai jenis sampah. Sampah domestik dikelaskan kepada botol, kertas dan buangan dapur dan hanya akan dipungut dua kali seminggu sehaja. Budaya yang diterapkan.... kurangkan pembuangan sampah. Stesen-stesen keretapi bawah tanah juga bersih, tidak berhabuk. Bolehkah budaya ini diterapkan kepada masyarakat Malaysia?
Sesuatu perlu dilakukan .... paradgima perlu di ubah! Budaya bersih perlu diterapkan dari rumah lagi!